Template by:
Free Blog Templates

Ahad, 22 Februari 2009

Tip IT: Lindungi komputer riba bagi tingkat jangka hayat


Oleh Zef Othman

PENGGUNAAN komputer 'laptop' atau komputer riba semakin mendapat sambutan di negara ini berikutan konsep mudah alih yang diketengahkan produk itu.

Segmen pengguna komputer riba di negara ini turut meliputi golongan profesional, pekerja kerajaan, peniaga dan pelajar.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa produk komputer riba ini adalah kelengkapan teknologi terkini yang sensitif dan mudah rosak sekiranya tidak dijaga dengan cermat.

Antara aspek yang perlu dititik beratkan adalah penjagaan yang lebih teliti pada komponennya, bateri, meningkatkan aspek keselamatan khususnya daripada ancaman luar, persekitaran dan pengendaliannya.

Seperti contoh, sebahagian besar pengguna masih tidak peka terhadap isu suhu dan persekitaran yang boleh menjadi penyumbang kepada kerosakan produk terbabit.

Sebagai pemilik, anda dinasihatkan supaya tidak menempatkan laptop pada permukaan yang boleh menghalang peredaran angin yang lancar seperti menggunakannya di dalam beg komputer mudah alih itu sendiri, di dalam selimut mahupun bantal.

Jika perlu, gunakan produk pengalas penyejuk mudah alih di bawahnya yang boleh didapati di pasaran, bagi memastikan laptop anda sentiasa berada dalam keadaan sejuk.

Persekitaran lembap atau panas pula boleh menyebabkan komputer mudah alih yang sensitif itu berdepan jangka hayat lebih singkat.

Malahan, habuk juga boleh menyebabkan peredaran udara tersekat dan merosakkan komponen dalamannya.

Pemilik komputer riba disarankan supaya tidak menempatkannya di kawasan panas atau di atas lantai.

Bahan cecair seperti minuman dinasihatkan tidak ditempatkan berhampiran produk berkenaan untuk mengelakkannya tertumpah.

Produk yang menggunakan bateri seperti laptop perlu dijaga dengan teliti bagi meningkatkan jangka hayat bateri produk berkenaan.

Pemilik juga perlu mengecas bateri komputer riba masing-masing sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Walaupun komputer riba anda direka khusus untuk meningkatkan produktiviti pengguna dan boleh dibawa ke mana-mana, pastikan sistem operasi atau aplikasi ditutup apabila hendak mengalihkannya, melainkan ia dilengkapi dengan ciri penyerap gegaran.

Selain itu, isu serangan dari luar pula adalah masalah yang sering di dibincangkan di kalangan pembangun perisian perlindungan ancaman itu.

Sehubungan itu, lindungi komputer laptop anda daripada ancaman pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan produk perlindungan yang ditawarkan di pasaran masa kini.

Apabila pemilik komputer riba bercadang untuk membawanya dari satu lokasi ke lokasi yang lain, saranan penggunaan beg mengembara untuk produk itu perlu diambil kira.

Pendekatan itu dapat melindungi komputer riba anda daripada berdepan dengan isu gegaran, keadaan cuaca yang panas dan kemasukan habuk tanpa disedari.