Template by:
Free Blog Templates

Jumaat, 13 Mac 2009

Kaspersky kumpul virus sebagai hobi


MENCEBURKAN diri dalam perniagaan berlaku secara tidak sengaja apabila Eugene Kaspersky, 42, hanya bermula dengan mengumpul virus sebagai hobi pada 1989.

Beliau melakukannya selepas komputer peribadinya di Kementerian Pertahanan Rusia diserang virus Cascade.

Pada 1991, beliau mula menulis mengenai program untuk mengesan dan menyahjangkitan virus berkenaan.

Setelah program beliau berjaya, Kaspersky mengasaskan Kaspersky Lab pada 1997 yang menekankan mengenai virus komputer.

Dilahirkan pada 4 Oktober 1965 di Novorossiysk, Rusia, beliau melanjutkan pelajaran di Institut Kriptologi, Telekomunikasi dan Sains Komputer yang dibiayai bersama oleh Kementerian Pertahanan Rusia dan KGB.

Kaspersky Lab dibangunkan pada 1997 dengan kerjasama Natalya (ketika itu isterinya) selepas bertelagah dengan rakan kongsi Amerika Syarikat (AS) yang tidak membolehkan mereka menggunakan nama produk yang ada - AVP.

Pada November 2000, beliau menamakan produknya sempena namanya sendiri - Kaspersky Anti-Virus.

Syarikat yang dibina atas dasar perkahwinan itu kini mempunyai kira-kira 800 kakitangan dan produknya digunakan oleh lebih 250 juta pengguna seluruh dunia.

Masih hak milik penuh persendirian, Kaspersky Lab tidak perlu melaporkan hasil kewangan, sama ada mengalami kerugian atau keuntungan.

Bagaimanapun, pulangan balik pada 2007 adalah US$200 juta (RM640 juta) dan jika ia berterusan ia bakal menjangkau angka RM1 bilion dalam masa kurang lima tahun dan bakal menjadi pembekal perisian keselamatan kedua terbesar dunia.

Dramatik

Menurut Kaspersky, dunia virus telah berubah secara dramatik dan kini telah sampai ke era Malware III.

Peringkat pertama, ketika beliau memulakan syarikat, virus didominasikan oleh jangkitan fail dan virus yang dibangunkan oleh remaja yang biasanya dijangkiti menerusi cakera liut.

Peringkat kedua antara tahun 2000 hingga 2004, ia adalah era di mana cecacing Internet seperti I Love You dan Melissa dihantar sebagai lampiran e-mel.

“Kita sekarang berada dalam dunia jenayah siber di mana penjenayah membangunkan Malware untuk menipu.

“Kebanyakan kos yang dijangkiti disebarkan menerusi laman web yang berniat jahat dan bagi membawa pengguna ke sana, mereka menggunakan kejuruteraan sosial seperti spam, e-mel, phishing, blog, forum, laman Web 2.0 dan komuniti sosial lain,” kata Kaspersky semasa ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kedatangan Kaspersky adalah dalam program Persidangan Kemuncak Keselamatan Siber Dunia (WCSS) yang pertama yang dianjurkan oleh Kerjasama Multilateral Menentang Pengganas Siber (IMPACT), baru-baru ini.

Menurutnya, trojan dan bots yang mencirikan Malware III lebih canggih dan pintar menyembunyikan diri.

“Malware III pintar bersembunyi, sukar untuk mencari dan membuangkannya daripada sistem kerana mereka tahu tempat bersembunyi,” katanya.

Ia merupakan cabaran yang lebih besar bagi syarikat keselamatan berbanding membuang virus dikenali. Pembekal teknologi keselamatan juga perlu menambah teknologi proaktif yang mengenalpasti kelakuan Malware dalam semua jenis program.

“Ini bukan tugas yang mudah,” tegas Kaspersky.

Beliau teringat - spyware - satu program tersembunyi yang apabila anda disambungkan kepada rangkaian, ia akan berinteraksi secara rahsia dengan komputer pelayan yang tidak diketahui.

“Tentu saja, kita perlu menghapuskannya tetapi bukan semudah itu apabila program berkenaan dijual sebagai sistem antikecurian kepada pengguna komputer riba.

“Inilah yang dikatakan ‘zon kelabu’ di mana syarikat bertelagah jika sistem yang digunakan sah atau tidak.

“Masalahnya sekarang penulis Malware sentiasa berusaha menghasilkan sesuatu yang tidak seperti Malware,” katanya.

Ditanya adakah pihaknya berjaya mengatasi masalah berkenaan.

Kaspersky berkata, memang kalah sudah menjadi adat dalam perniagaan.

“Penjenayah siber telah mengubah taktik mereka. Jika dulu kami ‘mengekori’ mereka dengan cuba merungkaikan masalah yang diwujudkan.

“Kini mereka ‘mengintai’ kami untuk meninjau kelemahan kubu kami. Ini boleh disifatkan sebagai seimbang,” katanya.

Kepakaran

Sebuah syarikat besar memerlukan kos dan kepakaran yang tinggi dalam menyediakan perkhidmatan keselamatan desktop yang sama seperti Kaspersky Lab.

Beliau menambah, keselamatan maklumat merupakan bidang yang menguntungkan tetapi syarikat terlalu besar tidak boleh memberikan sepenuh perhatian seperti dirinya.

“Kami juga perlu bersaing dengan syarikat keselamatan maklumat yang besar yang menjual langganan dengan memasukkannya ke dalam komputer yang baru.

“Kami telah melepasi tahap di mana kami tidak dikenali kepada sebuah syarikat bertaraf antarabangsa,” katanya.

Kaspersky Lab mempunyai kelebihan di tempat seperti China dan Brazil di mana pasarannya masih luas.

Dalam jangka panjang Kaspersky Lab akan memasuki bursa awam terutamanya ke salah satu pasaran saham di pasaran Eropah.

Semangat patriotik yang tumbuh segar dalam dirinya tidak akan membawa Kasperskry memindahkan perniagaannya ke luar negara seperti Oxford, UK.



Sebelum ini pada 1990an, Kaspersky pernah berura-ura bekerja dengan Dr. Alan Solomon, bapa perisian anti-virus British bagaimana tidak menjadi.