Template by:
Free Blog Templates

Jumaat, 13 Mac 2009

Blogging


Sumber :: Majalah PC
Masyarakat Asia Pembaca Blog Terbanyak di Dunia.

Blog atau nama ringkasannya untuk ‘Web Log’ merupakan fenomena yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Kajian menunjukkan bahawa blog telah menjadi evolusi baru dalam dunia media, teknologi dan IT bukan sahaja di Amerika malah bahangnya terasa di seluruh dunia.

Sebelum ‘blogging’ menjadi popular, komuniti digital menggunakan pelbagai format termasuk Usenet, servis talian komersial seperti Genie, BiX dan CompuServe awal, senarai emel dan sistem papan buletin (BBS) untuk mencipta kolum talian seakan blog. Pada 1990, perisian forum Internet pertama mencipta perbualan talian dengan ‘thread’ yang boleh dihubungkan antara satu sama lain.

Hal ini berkembang dengan pantas dan beberapa lagi versi blog muncul selepas itu. Bagaimanapun, evolusi blog moden boleh kita lihat bermula dengan kemunculan diari talian atau jurnal ‘online’. Justin Hall, salah seorang penuntut Swarthmore College ketika itu dikatakan antara blogger pertama. Nama ‘weblog’ pula diwujudkan oleh Jorn Barger pada 17 Disember 1997, manakala singkatan ‘blog’ digubah oleh Peter Merholz di mana dia meletakkan singkatan tersebut pada laman blog khasnya. Ia seterusnya diambil sebagai nama lazim untuk blog sehingga kini.

Meskipun kita ketahui bahawa sejarah blog itu sendiri adalah bermula di Amerika dan sebahagian besar Eropah, namun dalam kajian terbaru yang dijalankan oleh syarikat P.R ternama Edelman dan dengan kerjasama Technorati, penemuan menarik telah ditemui. Blog yang satu ketika dahulu diwujudkan dan dipopularkan di Barat kini telah dikuasai oleh masyarakat Asia.

Mungkin kenyataan ini bukan sesuatu yang memeranjatkan memandangkan masyarakat Jepun, China dan Korea tersenarai di antara pengguna Internet terbanyak di dunia. Kemajuan Internet telah memberi cara baru untuk masyarakat Asia menikmati teknologi dan mereka memang mahir dengannya.

Menerusi kajian ‘A Corporate Guide to the Global Blogosphere’atau Panduan Korporat untuk Dunia Blog Global yang dijalankan oleh Edelman, didapati bahawa majoriti pembaca blog seluruh dunia adalah datangnya dari pengguna Asia. Jepun mencatat keseluruhan 74% pembaca blog aktif, Korea Selatan 43% dan China 39% secara keseluruhan.

Jumlah yang ketara ini dikatakan terdorong daripada kecenderungan masyarakat Asia mengikuti hal ehwal semasa yang berlaku di negara masing-masing berikutan kepercayaan terhadap media tempatan semakin berkurang. Blog menjadi medan untuk mereka mengetahui pelbagai informasi yang berkaitan dengan negara dan masyarakat. Pembaca blog dari Amerika pula mencatat 27% manakala negara-negara Eropah mengambil 23% daripada keseluruhan pembaca blog dunia.

Selain itu, masyarakat Asia juga membaca blog lebih kerap berbanding mereka di Barat dengan masyarakat Jepun membaca blog lima kali seminggu dan masyarakat Korea pula akan membaca blog purata dua kali seminggu. Walaupun jumlah pembacaan blog ini tinggi di negara Jepun dan Korea Selatan, namun masyarakat Jepun dan Korea kurang mengambil tindakan apabila membaca sesebuah blog seperti mana yang disasarkan oleh pencipta blog.

Secara purata dua daripada 10 pembaca blog mengambil tindakan dengan perkara yang dibacanya di blog. Jumlah ini adalah sedikit jika dibandingkan di negara German dan Itali, di mana 78% pembaca blog menyatakan mereka pernah menghadiri perjumpaan tentang isu tempatan yang diutarakan dalam 12 bulan lalu. Blog mendorong mereka untuk mengambil sesuatu tindakan susulan yang berkaitan.

Dilihat dari segi penggunaan bahasa pula, bahasa Inggeris masih mendahului dengan 39% bahasa yang digunakan di dalam blog ditulis dalam Bahasa Inggeris. Ini diikuti dengan 33% ditulis dalam bahasa Jepun dan 10% Bahasa China. Sepanyol, Perancis, Itali dan German mencatat 1 hingga 3 peratus sahaja bahasa blog popular seluruh dunia.