Template by:
Free Blog Templates

Jumaat, 13 Mac 2009

Pemilihan kelengkapan pengimbas biar tepat


Oleh Zef Othman

PEMILIHAN kelengkapan pengimbas yang cekap dan mampu menepati cita rasa seseorang, perlu mengambil kira aspek keperluannya dan kemampuan kos milikan.

Ia menjadi semakin sukar apabila kelengkapan pengimbas yang ditawarkan di pasaran ketika ini menawarkan sistem penyampaian konfigurasi yang pelbagai untuk segmen pengguna khusus.

Antara kelengkapan pengimbas yang ditawarkan adalah bagi jenis Drum (dram), Flatbed (permukaan rata), Single sheet (kertas tunggal), Sheet-fed (kemasukan kertas), Photo (gambar), Hand (pengimbas tangan) dan slide (lutsinar).

Bagi pengimbas jenis dram, ia menawarkan kualiti imbasan imej berkualiti tinggi dan sering kali digunakan pengguna perniagaan cetakan profesional.

Kelengkapan yang dihasilkan khusus untuk segmen pengguna profesional itu adalah mahal tetapi mampu melakukan tugasan melampaui kelengkapan imbasan desktop terkini.

Pengimbas permukaan rata pula direka bagi membolehkan bahan yang hendak diimbas ditempatkan diatasnya.

Ia mempunyai elemen iluminasi dan sistem pengesanan yang bergerak di bawah permukaan kaca bagi tujuan imbasan imej.

Pengguna yang memberi penekanan terhadap penggunaan bagi tujuan aktiviti arkib dan pendigitalan dokumen, pengimbas kertas tunggal adalah kelengkapan imbasan yang direka khusus untuk pengguna bagi segmen terbabit.

Sistem imbasan seumpamanya ada kala ditawarkan dengan ciri papan kekunci bersepadu bagi meningkatkan tahap penyampaiannya.

Untuk pengimbas kemasukan kertas, ia adalah kelengkapan imbasan yang boleh digunakan dengan hanya menempatkan muka surat yang hendak diimbas ke dalam ruangan yang ditetapkan.

Selain itu, untuk segmen pengguna yang mahu melakukan imbasan gambar pada saiz sehingga enam inci, pengimbas foto adalah kelengkapan yang perlu dimiliki mereka.

Ia juga turut dihasilkan secara berasingan dengan unit desktop selain boleh didapati dipasang secara terus ke komputer.

Pengimbas tangan pula adalah kelengkapan yang digunakan untuk melakukan aktiviti imbasan imej secara manual.

Bagi membolehkan proses imbasan dilakukan dengan berkesan, anda perlu mengimbas dengan merentasi dokumen yang dikehendaki.

Sistem kelengkapan pengimbas lut sinar pula direka bagi tujuan pengimbasan kertas plastik lut sinar yang sering digunakan bagi tujuan pembentangan.

kebanyakan pengimbas lut sinar mempunyai keupayaan mengimbas warna negatif dan menukarkan imej negatif ke positif.

Pengenalan pelbagai jenis kelengkapan pengimbas yang ditawarkan pastinya mampu membantu anda untuk memilih kelengkapan yang diingini bagi tujuan tertentu.

Untuk pengguna, kebiasaannya kelengkapan pengimbas permukaan rata sering menjadi pilihan berikutan keupayaannya menawarkan sistem penyampaian yang dikehendaki.