FeedDemon adalah sebuah pembaca RSS untuk Windows, yang membolehkan anda mendapatkan entri-entri terkini dari ratusan blog kegemaran anda dengan mudah dan pantas.
Saya berhenti menggunakan Google Reader satu ketika dahulu kerana ianya sangat berat. Laman web Google Reader yang sarat dengan AJAX sangatlah tidak sesuai dengan sambungan Internet di rumah saya yang perlahan. Google Reader juga tidak dapat digunakan sekiranya anda offline.
FeedDemon adalah berbeza kerana ianya merupakan sebuah klien desktop. Apabila FeedDemon dibuka, ia akan mengemaskini kesemua suapan RSS anda. Setelah dikemaskini, anda boleh membaca blog-blog tersebut melalui FeedDemon, walaupun ketika offline.
Anda boleh mengubahsuai cara FeedDemon memaparkan entri-entri. Bagi saya, saya lebih suka memaparkan tajuk sahaja. Sekiranya saya ingin membaca entri tersebut, saya akan klik pada anak panah kecil di sebelah kiri tajuk. Dan jika saya ingin membuka blog tersebut di dalam pelayar web kegemaran saya, saya klik pada tajuknya.
Butang "Next Page" sangat berguna sekiranya terdapat banyak entri yang belum dibaca, tapi tak semua entri tersebut menarik. Saya hanya baca entri yang saya minat sahaja, kemudian tekan butang "Next Page" supaya entri-entri yang selebihnya ditanda sebagai telah dibaca.
Newspaper Style secara asasnya adalah Surfer. Anda boleh menukar tema ini melalui menu View > Newspaper > Style, dan pilih tema kegemaran anda, contohnya seperti tema Expando di bawah.
Watch membolehkan anda memasukkan kata kunci bagi topik kegemaran anda. Sebagai contoh, sekiranya anda memasukkan kata kunci "Perak", FeedDemon akan mencari segala entri terkini yang berkaitan dengan Perak, walaupun dari blog yang tidak dilanggan pada FeedDemon.
Mengikut para pembangun FeedDemon, versi yang seterusnya akan membolehkan FeedDemon dihubungkan dengan Google Reader. Ini merupakan satu fungsi yang amat ditunggu-tunggu kerana FeedDemon merupakan klien RSS desktop yang terbaik, manakala Google Reader adalah pembaca RSS online yang paling popular.
FeedDemon boleh didapatkan di sini.