Fungsi carian dalam Windows Vista dan Windows 7 mempamerkan satu peningkatan yang sangat baik berbanding dengan fungsi carian yang terdapat dalam Windows XP. Fungsi ini dikenali sebagai Windows Search 4.0, dan ia dibina bertujuan untuk memudahkan pengguna mencari dokumen, e-mail, malah kandungan yang terdapat dalam dokumen itu sendiri.
Kelebihan Windows Search 4.0
Satu kelebihan Windows Search 4.0 yang paling berguna buat saya adalah ia mampu untuk mencari kandungan yang terdapat di dalam dokumen. Sebagai seorang programmer, saya selalu membuat carian ke atas source code yang terdapat di dalam fail-fail projek saya. Ini membolehkan saya membuat rujukan terhadap kod-kod yang pernah saya buat dengan mudah sekali.
Carian ke atas kandungan ini boleh dilakukan kepada fail jenis teks seperti .txt, .htm, .php, dan sebagainya. Ia juga boleh mencari kandungan yang terdapat dalam e-mel (sekiranya anda menggunakan Windows Mail, saya rasa) serta fail-fail dari keluarga Microsoft Office.
Cara memulakan carian juga sangat mudah, kerana ia menggunakan satu sahaja kekunci iaitu kekunci Windows pada papan kekunci anda.
Oleh kerana carian boleh dilakukan dengan mudahnya melalui Start Menu, Windows Search 4.0 ini juga boleh digunakan sebagai launcher, iaitu melancarkan program dan aplikasi dengan pantas.
Cara-cara Menggunakan Windows Search 4.0
Terdapat pelbagai cara untuk menggunakan fungsi carian ini. Cara yang paling mudah dan pantas adalah melalui Start Menu. Hanya klik kekunci Windows pada papan kekunci anda, dan taipkan nama bagi dokumen atau program yang anda ingin lancarkan.
Anda juga boleh menekan kekunci Win+F untuk mengeluarkan satu tetingkap khas bagi membuat carian. Perhatikan bahawa perkataan yang anda cari akan dikuningkan pada setiap hasil carian.
Anda juga boleh membuat carian ke atas folder yang spesifik. Sebagai contoh, sekiranya anda membuka My Computer dan pergi ke D:\Downloads, carian akan dibuat ke atas kandungan folder D:\Downloads sahaja.
Menetapkan Lokasi Folder Yang Akan Di-Indeks
Secara asalnya, hanya Start Menu dan folder User sahaja yang akan di-indeks oleh Windows. Namun, sudah tentunya anda mahu membuat carian pada semua dokumen yang terdapat di dalam komputer anda. Untuk menambah lokasi folder yang akan di-indeks oleh Windows, ikuti langkah-langkah berikut:
- Buka Start Menu dan taipkan "Indexing Options" (biasanya anda taip "inde" pun dah cukup). Klik pada ikon Indexing Options yang tersenarai di hasil carian.
- Indexing Options akan dipaparkan. Klik pada butang Modify.
- Pada skrin Indexed Locations ini, anda boleh folder mana yang anda ingin indeks. Saya memilih untuk mengindeks keseluruhan partition D: supaya segala dokumen saya dapat dicari dengan pantas. Klik OK setelah selesai. Seterusnya klik Close pada Indexing Options.
- Windows Search 4.0 akan mula mengindeks fail-fail dan folder-folder anda. Setelah proses mengindeks siap, anda boleh mula mencari dokumen di tempat yang baru anda tetapkan tadi.
Install Windows Search 4.0 Pada Windows XP
Jangan bimbang sekiranya anda pengguna Windows XP. Anda boleh install Windows Search 4.0 ini, tidak perlu lagi berhadapan dengan animasi anjing yang menjengkelkan itu. Download Windows Search 4.0 dan install seperti biasa.
Windows Search 4.0, Everything, dan Launchy?
Memang diakui, terdapat beberapa software yang boleh melakukan tugas yang sama, malah lebih baik dari Windows Search 4.0. Google Desktop juga mampu mengindeks kandungan yang terdapat di dalam dokumen. Everything pula mampu mencari segala jenis fail dalam masa nyata, tidak perlu mengambil masa yang lama untuk mengindeks. Launchy pula boleh melancarkan aplikasi dengan lebih pantas.
Namun kelebihan Windows Search 4.0 adalah ianya telah sedia terbina dalam Windows, sangat mudah untuk dilancarkan, serta merangkumi ketiga-tiga software yang telah disebutkan tadi. Lagipun, jika anda mempunyai RAM yang banyak, kenapa tidak jalankan kesemuaya sekali? Sekarang ini pun, saya ada Windows Search 4.0, Everything, dan Launchy terpasang sepanjang masa.
Windows Search 4.0 juga mempunyai sedikit kelemahan di sana-sini. Contohnya, apabila satu-satu carian tidak dijumpai, ia mengambil masa yang sedikit lama sebelum memaparkan mesej "No items match your search". Windows Search 4.0 juga boleh dipertingkatkan lagi dengan menambah fungsi-fungsi yang selalu terdapat dalam launcher seperti Launchy dan Quicksilver (Mac); contohnya melakukan operasi matematik mudah, melancarkan laman web, dan sebagainya. Semoga pihak Microsoft akan mengkaji software tersebut dan berusaha mempertingkatkan lagi fungsi Windows Search ini.