Opera 10 baru sahaja dilepaskan pada 1 September 2009, sekaligus menjadikan ia web browser pertama yang mencapai versi dua digit. Ini menunjukkan yang Opera telah berada lama dalam pasaran web browser, malah sebelum Firefox dibangunkan lagi.
Walaupun kurang popular berbanding Firefox, Chrome, dan Safari, namun Opera lah yang telah membawa pelbagai inovasi kepada web browser seperti fungsi tabbed browsing, mouse gesture, dan password manager. Fungsi-fungsi ini kemudiannya disalin oleh web browser lain dan dijadikan sebagai standard. Contohnya fungsi Speed Dial kini telah diimplementasikan oleh Chrome, Safari, dan pelbagai add-on Firefox.
Kini dengan versi yang ke-10, mampukah Opera terus memberi saingan kepada web browser popular yang lain? Bagaimana pula dengan prestasi dan fungsi-fungsi baru? Mari sama-sama kita saksikan.
Antaramuka Baru
Setelah sekian lama, Opera kini mempunyai ikon yang baru! Skin yang default juga telah diubah menggunakan rekabentuk serba hitam daripada Hicksdesign, yang tampak lebih kemas dan menjimatkan ruang.
Tarik pemegang yang terdapat di bawah tab untuk melihat thumbnail bagi semua laman web yang dibuka, berguna apabila anda ingin mencari tab dengan pantas (namun saya berharap adanya keyboard shotcut untuk toggle fungsi ini).
Tab bar juga boleh diletakkan di tepi, sesuai sekiranya anda menggunakan monitor jenis widescreen.
Menu bar boleh disorokkan, sperti antaramuka yang terdapat pada Chrome dan Safari. Pergi ke File > Show Menu Bar untuk mengaktif/nyah-aktifkan menu bar.
Fungsi Baru
Open With
Open With akan membuka laman web anda buka sekarang di dalam web browser yang lain. Web browser yang disokong termasuklah Internet Explorer, Firefox, Chrome, dan Safari.
Fungsi ini berguna sekiranya ada laman web yang nampak pelik dalam Opera, lalu anda ingin membukanya pada web browser yang lain. Ia juga sesuai untuk para web developer yang selalu menguji laman web dengan pelbagai web browser.
Inline Spell-check
Opera akan menyemak ejaan yang anda telah masukkan ke dalam ruangan text area. Sekiranya terdapat ejaan yang salah, perkataan tersebut akan digariskan dengan garisan merah. Anda boleh mendapatkan cadangan ejaan yang betul dengan klik kanan pada perkataan yang digariskan.
Sudah sampai masanya fungsi ini dimasukkan kerana ia sudah lama dibina pada web browser lain seperti Firefox.
Auto-update
Anda boleh memilih samada hendak membiarkan Opera update sendiri sekiranya terdapat versi yang terbaru, ataupun menghantar notifikasi terlebih dahulu. Walaupun anda memilih untuk update automatik, ia tidak akan menganggu pelayaran web anda kerana update tersebut hanya akan dipasang setelah anda restart Opera.
Opera Turbo
Bagi sambungan Internet yang perlahan, Opera Turbo akan diaktifkan untuk memaparkan laman web dengan lebih pantas. Opera Turbo menggunakan teknik compression di mana fail-fail akan dipadatkan terlebih dahulu melalui server Opera. Hasilnya, kualiti imej akan merosot namun anda akan dapat melayari laman web dengan lebih laju.
Fungsi ini hanya akan nampak ketara pada sambungan Internet yang perlahan, terutamanya pada telefon bimbit.
Peningkatan Kepada Fungsi Lama
Speed Dial
Kini anda boleh menetapkan lebih banyak kotak pada Speed Dial, tidak terhad kepada 9 kotak sahaja. Latar belakang juga boleh diubah menggunakan imej pilihan anda.
Opera Dragonfly
Bagi web developer, anda boleh menggunakan Opera Dragonfly untuk debug Javascript, memeriksa CSS, DOM serta HTTP headers. Fungsinya sama seperti add-on Firebug yang terdapat dalam Firefox.
Pergi ke menu Tools > Advanced > Developer Tools untuk mengaktifkan Opera Dragonfly.
Opera Link
Dengan menggunakan Opera Link, segala bookmarks anda akan disimpan dalam server Opera supaya anda boleh mengaksesnya dari mana sahaja.
Contohnya jika anda menggunakan komputer di rumah dan di pejabat, fungsi ini akan memastikan bookmarks dari kedua-dua komputer tersebut adalah sama.
Opera Link juga turut menyimpan Speed Dial, Personal Bar, Notes, Typed History, dan Searches.
Kelajuan
Ujian Kepada Enjin Presto
Berdasarkan ujian yang dijalankan oleh Ars Technica, Opera adalah lebih laju daripada Firefox, namun ketinggalan berbanding web browser berdasarkan Webkit iaitu Chrome dan Safari. Walaupun tidak ketara, saya sendiri perasan yang laman web yang berat seperti Gmail dan Facebook, rasa lebih lancar pada Chrome dan Safari.
Kelajuan Berdasarkan Kefungsian
Namun kelajuan bukanlah berdasarkan prestasi enjin JavaScript semata-mata. Kefungsian pada web browser juga menjadi faktor. Contohnya, apabila anda menekan butang Back dalam Opera, ianya dipaparkan serta-merta. Ini kerana Opera menggunakan cache, dan bukannya load semua halaman tersebut.
Opera juga mempunyai (terlalu banyak) shortcut yang membantu navigasi. Jika anda pengguna mouse, mouse gesture boleh digunakan untuk tindakan-tindakan seperti Back, Forward, membuka tab baru, dan banyak lagi. Ianya sangat menjimatkan masa berbanding menggerakkan mouse untuk mencari ikon.
Terdapat juga pelbagai keyboard shorcuts yang terbina seperti butang Z dan X untuk Back dan Forward. Bagi pengguna tegar keyboard, gunakan mouseless browsing dengan menekan Shift+Arrow keys, dan anda tidak perlu melepaskan kedua-dua belah tangan dari keyboard pun.
Mampu Berjalan Walaupun Pada Sambungan Internet Yang Teruk
Sebilangan besar daripa pengguna rumah di Malaysia masih tidak dapat menikmati sambungan Internet yang lancar. Sambungan Internet di rumah saya sendiri ada kalanya terputus, ada kalanya sangat perlahan. Dan saya dapati Opera sahaja yang mampu load laman web tersebut meskipun sewaktu sambungan Internet yang teruk. Web browser lain seperti Chrome, terus memaparkan 'Page not found' yang menandakan ia tidak dapat membuka laman web tersebut.
Penggunaan Memori
Walaupun terbina dengan pelbagai fungsi di dalamnya, Opera masih mampu mengekalkan penggunaan RAM yang rendah berbanding Chrome atau Firefox yang dilengkapi dengan extension. Opera mampu menampung jumlah tab yang banyak tanpa crash.
Kekurangan
Meskipun Opera terkenal dengan mencipta inovasi yang akhirnya akan ditiru oleh web browser yang lain, terdapat juga beberapa fungsi yang saya harap Opera boleh belajar daripada yang lain, seperti:
Private mode
Chrome sudah mempunyai fungsi Incognito, malah Internet Explorer mempunyai fungsi InPrivate. Kadang-kala saya memerlukan untuk log in ke dalam akaun Gmail kedua agar tidak menganggu cookies yang sedia ada.
Form autofill
Selama ini Opera hanya mempunyai form autofill yang boleh diisi secara manual pada Preferences, namun ia tidak mengambil kira maklumat yang pernah ditaip sebelum ini. Fungsi ini telahpun ada pada Internet Explorer, Chome, Firefox.
Respon Address Bar Yang Lambat
Saya sangat teruja apabila melihat kefungsian address bar yang begitu pantas dalam Google Chrome. Meskipun kebanyakan fungsi ini telah dicipta dulu oleh Opera, namun Chrome telah menggilapnya dengan sangat kemas. Respon pada address bar Opera agak lambat dan perlu dipertingkatkan. (Update: Masalah ini telah dibaiki dalam Opera 10.10 Beta)
Toggle Personal Bar
Satu lagi fungsi yang saya suka pada Chrome adalah kebolehannya toggle Bookmark Bar dengan mudah. Tapi pada Opera, untuk menyembunyikan Personal Bar, anda harus pergi kepada menu satu-persatu.
Kesimpulan
Opera 10 dikeluarkan dengan pelbagai inovasi yang saya yakin, akhirnya akan diimplementasikan juga oleh web browser yang lain. Meskipun Opera bukanlah web browser yang terpantas berbanding Chrome dan Safari, namun ia mempunyai pelbagai fungsi yang membuatkan saya sayang untuk meninggalkannya.
Setiap kali saya cuba untuk menggunakan web browser lain, saya terasa begitu terhad dan terbatas tanpa fungsi-fungsi Opera seperti mouse gesture, mouseless browsing, malah fungsi sekecil Open last tab sekalipun. Malah, saya tidak perlu install apa-apa add-on pun untuk menggunakan fungsi-fungsi ini, kerana ia telah terbina dalam Opera.
Terdapat juga beberapa ruang yang perlu Opera perbaiki, terutamanya daripada segi rekabentuk, dan publisiti. Antaramuka Opera saya fikir, adalah kurang menarik. Bahagian Preferences > Advanced misalnya, adalah terlalu kompleks dan sukar difahami. Mungkin Opera boleh mencontohi sikap pembangun Chrome yang komited dalam menghasilkan antaramuka yang minimalis dan cantik.
Opera juga harus lebih pandai mempromosikan serta menerangkan fungsi-fungsinya. Masalah yang berlaku sekarang adalah pengguna tidak tahu apa yang Opera mampu lakukan, dan meninggalkannya setelah dicuba hanya beberapa minit. Opera boleh mencontohi Firefox yang mempunyai laman web yang sangat membantu pengguna memahami fungsi-fungsi Firefox, mencari add-on yang sesuai, dan sebagainya.
Adakah Opera akan berjaya menambat hati para pengguna baru? Itu saya tidak pasti. Namun jika anda inginkan sebuah browser yang ringan, pantas, dan mempunyai pelbagai fungsi yang membantu produktiviti (tanpa perlu install apa-apa add-on), gunakanlah Opera 10 :)