Sebelum ini saya ada menulis tentang Everything – sebuah perisian yang boleh mencari apa sahaja fail dalam komputer anda dalam sekelip mata. Kini setelah berbulan-bulan menggunakan Everything, ia sudah menjadi satu alat yang wajib ada untuk memudahkan urusan komputer saya setiap hari.
Sebagai seorang yang bekerja dalam bidang IT, kerap kali saya terpaksa mencari fail-fail yang tertentu yang terletak jauh di dalam komputer. Contohnya untuk membuat tetapan kepada sambungan ke Oracle, saya harus mencari fail tnsnames.ora yang terletak dalam folder C:\oracle\product\10.1.0\db_1\NETWORK\ADMIN\SAMPLE. Nak mengingat path bagi fail tu dah satu hal, lepas tu letih pula saya nak buka folder tersebut satu-persatu setiap kali saya hendak menggunakannya.
Dengan Everything, saya hanya perlu menaipkan tnsnames.ora sahaja, dan ianya akan terus dipaparkan. Tidak perlu lagi tercari-cari apakah path nya, dan di mana foldernya.
Ok, jika anda tidak bekerja dalam bidang IT sekalipun, ianya tetap berguna. Katakanlah anda ingin memainkan MP3 dengan pantas, anda hanya perlu taipkan nama fail MP3 tersebut untuk melancarkannya.
Cara Menggunakan Everything Dengan Lebih Pantas
Dengan mengubah sedikit tetapan di bahagian Options, anda boleh gunakan Everything dengan lebih cekap. Klik kanan pada ikon Everything di taskbar, dan pilih Options untuk mengubah tetapan Everything.
Lancarkan Everything Apabila Komputer Dibuka
Bagi memastikan Everything sudah sedia dibuka apabila anda memulakan Windows, tandakan pada pilihan "Start Everything on system startup"
Tetapkan Hotkey
Di sini saya tetapkan kekunci Win+S supaya saya dapat melancarkan Everything dengan cepat setiap kali saya ingin menggunakannya.
Biarkan Hanya Satu Window Sahaja Dibuka
Apabila anda kerap memanggil Everything menggunakan hotkey, sudah pasti banyak windows Everything yang akan dibuka. Kosongkan pilihan "Allow multiple windows" dan "Allow multiple instances" untuk mengelakkan masalah ini.
Anda boleh dapatkan Everything di VoidTools.