Template by:
Free Blog Templates

Isnin, 14 September 2009

IMCURTAIN.com Satu Lagi Laman Social Bookmarking Tempatan

imcurtain

Laman social bookmarking merupakan satu tempat di mana pautan ke artikel-artikel dari laman web dan blog dikumpulkan, memudahkan anda untuk mencari kandungan-kandungan yang menarik di Internet. Ia juga memberi peluang kepada para penulis untuk mempromosikan laman web mereka. Contoh laman social bookmarking yang popular adalah Digg dan Reddit.

Kini, dunia blog tempatan dimeriahkan dengan satu lagi laman web social bookmarking, iaitu IMCURTAIN.com. Laman web ini masih dalam peringkat Beta, namun anda sudah boleh mendaftar, menghantar artikel, serta mengundi artikel yang anda gemari.

Sekali pandang, sistem IMCURTAIN.com tampak menyerupai Negaraku. Ini kerana kedua-duanya menggunakan platform yang sama, iaitu Pligg. Apa yang saya suka mengenai IMCURTAIN.com adalah antaramukanya yang cantik dan sangat kemas. Mungkin ianya menggunakan tema berbayar, namun apa yang penting adalah ia tidak menyesakkan mata saya, dan membuatkan saya ingin berkunjung dengan lebih kerap.

imcurtain-02

Secara asas, IMCURTAIN.com memaparkan 'List', di mana hanya tajuk sahaja yang dipaparkan, beserta beberapa maklumat tambahan yang lain. Apabila anda klik 'Expanded', barulah senarai itu akan dikembangkan dengan memaparkan sekali keterangan ringkas bagi setiap artikel. Saya amat menyokong tetapan ini, kerana saya lebih gemar senarai saya dipaparkan dengan tajuk sahja, agar lebih banyak pautan dapat saya imbas sekali lalu.

imcurtain-03

Apabila anda klik pada tajuk artikel, anda akan dibawa kepada halaman yang memaparkan maklumat lanjut mengenai artikel tersebut, serta ruangan komen. Bagi saya, halaman ini membazirkan lagi satu klik kerana anda boleh terus mengundi artikel dari halaman utama, manakala ruangan komen pula jarang digunakan. Lebih baik jika kita dibawa terus kepada artikel tersebut apabila klik pada tajuk entri.

Secara ringkas, IMCURTAIN.com adalah satu lagi usaha yang bagus untuk merancakkan lagi dunia blog tempatan. Antaramuka yang cantik dan kemas sudah menjadi kekuatan utamanya. Cuma, saya kurang pasti adakah nama IMCURTAIN.com itu (serta pemilihan huruf kecil dan besar) mampu memberikan identiti yang berkesan. Diharap juga IMCURTAIN.com dapat menangani masalah yang sering melanda laman social bookmarking, iaitu spam. Bersama-sama kita tunggu dan lihat perkembangan IMCURTAIN.com selepas ini.